Sabtu, 20 Jun 2009

SELAMAT HARI BAPA


Bila tiba hari bapa, aku teringatkan Bapa aku yang aku panggil ayah, sudah 5 tahun ayah aku meninggal kami sekeluarga, tetapi kenangan lalu memang tak boleh lupa, Ayah aku telah berkorban jasa terlalu banyak, dia lah guru dan penasihat yang hebat pada aku didalam dunia ni, Mak aku pernah ceritakan pada saat dia nak melahirkan aku di hospital besar Ipoh, Ayah aku dalam perjalanan ke hospital menaiki Bas, sesampainya di chemor letupan batu kuari hampir menimpa bas yang Ayah aku naiki, kalau tidak aku lahir tanpa melihat Ayah.

Walaupun anak lelaki selalu lebih manja dengan mak tapi aku lain, aku lebih suka dengan Ayah, walaupun Ayah garang tapi dia tak pernah rotan aku, berbeza dengan Mak aku, silap sikit mesti rotan. Waktu aku sekolah dulu Ayah lah yang selalu menghantar dan mengambil aku dari sekolah dengan basikal tua, aku duduk kat belakang dengan kaki yang capang sebab tempat duduk belakang besar, selalu ayah akan berhenti untuk belikan air tebu jika membawa aku pulang.

Pernah satu hari aku terambil betik yang di simpan oleh abang aku dan makannya sampai licin, bila abang aku tahu, dia terus report kat Mak aku, Mak aku apa lagi, tapi nasib ada Ayah, Ayah cakap kalau tak mau betik kena makan oleh aku simpan dekat tempat lain jangan dalam rumah, perhubungan aku dengan abang aku tak berapa baik sebab Ayah selalu backing aku.

Masa berjalan terlalu pantas, sewaktu aku nak kesekolah asrama, Ayah aku tak berapa setuju, begitu juga kalau kerja jauh-jauh, Ayah aku suruh aku cari kerja dekat-dekat kampung aje, tapi sudah rezeki aku kerja jauh dari kampung, pekerjaan pertama aku di johor, kalau lama tak balik Ayah akan kirim surat, cakap sakit-sakit, jadi aku terpaksa balik, pernah sekali masa aku kerja dekat kemaman terengganu, aku dapat telegram mengatakan Ayah aku sakit, bila aku sampai kat rumah di kampung aku tengok Ayah aku sehat je, itu lah Ayah aku, apa yang dia mahu adalah aku sentiasa berada di sampingnya sambil bercerita, itulah benda yang aku lakukan sewaktu aku kecil dulu, Ayah menjadi teman setia untuk menjawab setiap pertayaan aku tanpa letih.

Setelah 5 tahun aku bekerja di terengganu aku berpindah ke Selangor kononnya dekat dengan kampung boleh balik selalu, tapi tak juga, bila kita bekerja dengan orang ni masa kita telah diikat nak cuti pun susah, sehinggalah aku terima satu panggilan telefon dari anak saudara aku yang mengatakan bahawa Ayah aku sakit dan pulang segera, macam biasa aku pun balik, sampai kat kampung dah malam, aku nampak Ayah aku macam biasa je, boleh bangun mandi dan sembahyang, tapi batuknya agak kuat sedikit, bila malam batuknya makin menjadi-jadi, esok paginya aku ajak ayah ke hospital mulanya dia menolak, tapi lepas dipaksa pergi juga, sampai kat hospital Ayah tak batuk, pemeriksaan didapati cuma demam biasa je lepas ambil ubat terus balik, didalam kereta ayah asyik batuk je, jadi aku rasa pelik, sampai kat rumah Ayah asyik muntah hitam aje, oleh kerana doktor mengatakan Ayah cuma demam biasa aje jadi aku tak berapa risau, sampai ke petang Ayah dah tak boleh bangun, jadi aku urut belakang Ayah sambil bercerita dengan Ayah, Ayah berpesan kalau sesuatu berlaku pada dia cari dalam kotak mancis tu ada sedikit duit buat urusan.

Petang itu keluarga aku dah berkumpul kecuali Abang aku yang berada di PD belum sampai lagi, malam itu lepas maghrib Ayah minta dibawa kebiliknya, lepas baringkan Ayah, Ayah suruh padam lampu, rupa-rupa itu lah suara Ayah yang terakhir, lepas buka lampu Ayah dah tiada lagi. yang ada cuma jasadnya saja. Apa yang aku terkilan walaupun aku sentiasa berada dengan Ayah pada hari itu tapi aku tak sempat minta maaf, sebab percaya kan doktor yang ayah cuma demam biasa saja, dan aku ingat dia suruh padam lampu sebab nak tidur, rupa-rupanya tak mahu anak-anak melihat rupanya sewaktu panggilan akhir " Subhanallah".

Betul seperti Ayah aku cakap didalam berapa kotak mancis ada duit, selepas dikira ada dalam RM400 jadi duit itulah segala urusan jenazah dilakukan selebihnya disedekahkan, itulah Ayah aku tak pernah menyusahkan orang lain sehingga kesaat akhir. kerjanya bilal masjid padang rengas malam mengajar budak mengaji Quran, tak pernah lepak kat kedai kopi, tak pernah mengata orang, sayang pada binatang sehinga nak menyembelih ayam yang dibelanya pun dia tak sanggup. Pesanan Ayah yang selalu aku ingat, jangan lupa sembahyang, jangan selalu makan dikedai (mungkin Ayah takut terkena santau kalau makan kat kedai).

Seumur Hidup aku, tak pernah mengucapkan selamat hari bapa pada Ayah, jadi untuk kesempatan ini Aku mengucapkan selamat Hari Bapa Buat Ayah aku dan Bacaan AL-FATIHAH untuknya semoga rohnya aman selalu AMIN...........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan